20090322

dua puluh tiga

"aku telah berbuat banyak untuk islam" konon. maaflah jika anda membaca, coretan ini ditulis untuk iktibar diri sendiri, ambillah pengajaran untuk kebaikan dan tinggalkan segala keburukan dan nasihatilah saya. kenapa dos tarbiyyah yang sama melahirkan insan yang berbeza. persoalan ini saya sering timbulkan. kadang-kadang sengaja. semua diajar, diasuh dengan akhlak mulia, berlapang dada itu serendah-rendah ukhuwah, dan yang paling tinggi ialah ithar. kita belajar tentang malu, qanaah, bermuka manis, kita dididik untuk menghilangkan hasad dengki, berkata benar. tapi ada yang senang sahaja, tak perlu diceritakan, tak perlu diberi tazkirah, mudah sahaja untuk dia berakhlak mulia. sebahagian yang lain bertatih untuk melengkapkan diri dengan kebaikan, ada juga yang buat tak endah. tapi kenapa ada perbezaan hasil untuk ubat yang sama.

di mana ilmu-ilmu ini diterima. hanya telinga dan mata sahaja bekerja. ingat wahai diri, segala tapisan ilmu berlaku di hati. karat-karat dosa menghalang kebaikan menyentuh hati. walau diberi segunung ilmu, jika hati hitam pekat mana mungkin dapat menembusi. cermin diri biar sampai ke hati. mungkin inilah penyebab diri susah benar untuk merealisasikan segala yang dipelajari.

memang manusia tidak sempurna, tapi kejadian manusia itu sempurna; ruh, jasad, rohani, jasmani, perasaan, emosi, dan yang menyempurnakan diri manusia adalah islam. tak layak untuk saya menyatakan diri ini tidak sempurna sebelum saya berusaha. dan tidak adil untuk saya mengharapkan kesempurnaan orang lain. adakah kita tidak sempurna? kita menafikan kesempurnaan itu kerana kita tidak mahu, dan kita rasa cukup menjadi diri kita tanpa menambah nilai-nilai yang diajar Allah. memang sampai mati kita tidak akan sempurna kalau kita berfikiran seperti itu. mengapa tidak untuk kita menjadi sempurna? tapi siapa yang menilai, biar Allah sahaja yang menghakimi diri saya, kerana saya percaya kaca mata manusia lebih banyak melihat keburukan daripada kebaikan. moga Allah menjadikan penglihatan, pendengaran, pertuturan daripadanya hidayahnya.

ya Allah. hilangkanlah segala yang menghalang diri ini daripada berbuat ikhlas untuk agamaMu.

No comments: